11 November 2019

Bab 5

“AMIR, dua tiga hari awak jarang dah balas mesej saya. Awak ada masalah ke?” tanya Zulaika lembut memandang Amir yang hanya lagak mendiamkan diri sahaja. Mereka berdua keluar makan di tempat biasa setelah Zulaika menerima panggilan lelaki itu yang ingin mengajaknya keluar makan bersama kerana agak lama juga mereka tidak bersua muka kerana masing-masing kelihatan sibuk. Agak sibuk!
“Oh ya. Saya busy sikit sekarang sebab kena handle projek baru.” balas Amir lambat.
“Oh I see... Emm, mama awak apa khabar? Lama dah saya tak pergi tengok dia. Rasa rindu pulak.” kata Zulaika terselit nada rindu.
“Dia sihat je.. Nanti la kalau ada masa saya bawa awak jumpa dia okey.”
“Hmm.. okey.” angguk Zulaika tersenyum sambil menghirup air minumannya.
“Zulaika..” panggil Amir lembut.
“Emm?” balas Zulaika sambil mengangkat bulu keningnya. Lagak kekasihnya itu seakan ingin bertanyakan sesuatu. Sesuatu yang dia sendiri tidak pasti.
“Kalau saya tanya awak. Awak jangan marah ya?” kata Amir tersenyum kelat.
“Okey. Apa dia? Tanya la.”
“Awak pernah tipu saya tak?” tanya Amir serius. Wajahnya lagak ingin benar-benar tahu.
“Tipu awak? Apa maksud awak ni, Amir? Saya tak faham la.” geleng Zulaika tanda benar-benar tidak faham.
“Tak ada la. Sepanjang kita bercinta ni la kan, pernah ke sekali awak tipu saya? Pasal diri awak..”
Zulaika tersenyum seketika. Dia pandang Amir mesra. “Apa yang awak mengarut ni. Of course la saya tak pernah tipu awak. Saya jujur dengan apa yang saya beritahu awak. Siapa yang awak nampak saya sekarang ni. Ini la saya. Zulaika awak.” jelas Zulaika buat Amir tersenyum sendiri pula. “Anyway. Ini mesti ada sebab awak tanya saya soalan macam ni kan? Cepat, beritahu saya sekarang kenapa? Cepat cakap!..” arah Zulaika serius sambil menunding jari telunjuk ke arah lelaki itu.
“Bukan apa. Ada la seorang member saya ni. Dia takut awek dia tu tipu dia la.” kata Amir lagak menyusun kata.
Member awak? Siapa? Hadi ke?” Zulaika cuba meneka. Dia mengenali kawan sekerjanya Amir itu.
“Tak la. Bukan Hadi. Ini member office saya yang lain la. Awak tak kenal pun.” kata Amir cuba berdalih agar Zulaika tidak mengesyaki akan siapa perihal diri yang diceritakannya itu.
“Oh.. so apa yang awak beritahu member awak tu?” tanya Zulaika. Khusyuk mendengar cerita dari Amir.
“Saya cakap la. Better dia siasat dulu, tak payah la buat tuduhan melulu tak tentu pasal macam tu. Kawan dah lama tapi putus sebab salah faham, kan tak best macam tu. Betul tak?”
Zulaika mengangguk kepala beberapa kali tanda setuju. “Hmm.. betul tu.. So sekarang ni awak dah terkena virus takut dia tu la. Sampai awak tanya saya soalan-soalan macam ni ya?” Amir hanya tersenyum merenung ke mata Zulaika. “Awak ni tak baik tau. Kita serius dengan dia, dia ingat kita main-main pulak.” balas Zulaika mula tarik muka. Nada merajuk.
“Eh tak.. Saya tanya je.. Saya tahu tu.. saya pun nak awak tahu yang saya serius sangat dengan awak. Saya betul-betul cintakan awak, Zulaika.” luah kata Amir dengan penuh yakin sambil bibir tersenyum mesra ke arah Zulaika yang berada di hadapannya itu.
Hati Zulaika rasa terpana seketika. Indahnya rasa bila diri terus dicintai oleh kekasih hati. Sungguh indah!
✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿

PINTU ditolak perlahan-lahan. Wajah Zuhaira yang sedang lena berbaring di atas katil ditatap Rokiah seketika. Dia melangkah masuk dan duduk di kerusi bersebelahan dengan katil anak gadisnya itu. Dia kalih pandang pada bingkai gambar di atas meja tulis anak gadis itu. Bibirnya mengukir senyum. Kenangan bersama Zulkarnain sedikit demi sedikit diingatinya. “Abang, Kiah dah lakukan yang mana termampu bang.” Bisik hati Rokiah sendiri. Terselit nada hiba. Mata masih setia menatap gambar arwah suaminya itu. Rindu di hati sentiasa terasa untuk insan itu.
Rokiah segera bangun setelah sedar agak lama juga dia berada di dalam bilik itu. Takut nanti bakal mengejutkan Zuhaira yang sedang tidur lena diulit mimpi itu. Dia menghampiri tubuh yang sedang selesa berbaring di atas katil. Diciumnya lembut ke dahi anak perempuan keduanya itu. Bibir tersenyum mesra.
Namun langkah Rokiah untuk berlalu pergi dari katil Zuhaira terhenti tatkala matanya terpandang sekeping gambar di dalam tangan gadis itu. Dia cuba menarik gambar itu perlahan dengan penuh berhati-hati. Kelihatan jelas gambar Amir. Gambar yang tidak lengkap. Seakan dikoyak di bahagian kanan gambarnya. Hanya tinggal gambar lelaki itu sahaja di cebisan gambar yang dipegangnya itu dan di sebelahnya itu semestinya gambar Zulaika. Ya, dia benar-benar pasti kerana sebelum ini dia pernah melihat gambar tersebut kerana Zulaika pernah menunjukkan kepadanya dahulu.
“Mama..” panggil Zulaika dari ruang tamu.
“Emm.. ada apa sayang?” sahut Rokiah segera melangkah masuk ke ruang tamu.
“Ma, ada nampak gambar Aika dengan Amir tak?” tanya Zulaika sambil mengangkat buku-buku majalah yang berada di bawah meja tamu. Dibelek-beleknya satu persatu. Seakan ingin mencari sesuatu.
“Gambar yang mana satu pulak ni?”
“Ala... gambar yang kami berdua tangkap masa dekat Langkawi dulu tu. Mama ada nampak tak?”
“Tak ada la pulak. Emm.. Aika dah tanya adik?” geleng Rokiah hairan.
“Dah ma. Dia kata tak nampak pun.” balas Zulaika tanpa memandang Rokiah. Mata dan tangannya masih ligat mencari.
“Emm.. tercicir kot..”
“Tak kan kot. Sebab Aika tak pernah pulak bawa keluar gambar tu dari dalam bilik.”
“Asytafirullahalazim...” Pantas ucapan istifar keluar di bibir Rokiah. Kenangan bersama Zulaika tempoh hari itu jelas diingatinya. Tidak mungkin. Itu kata yang dia cuba fikirkan ketika ini. Mindanya berfikir pantas lagi. Jika ini mungkin, dia perlu cuba mencari jalan menyelesaikan masalah yang mungkin parah jika dibiarkan sahaja itu. Sungguh tidak sangka!
✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿

“AIKA.” panggil Rokiah lembut apabila memandang Zulaika yang sedang membantunya menyediakan sarapan pagi seperti biasa di hari cuti hujung minggu.
Zulaika kalih pandang ibunya seketika kerana sedang ligat memotong bawang merah di tangan. “Err.. ada apa ma?”
“Emm.. gambar Aika dengan Amir masa kat Langkawi dulu tu dah jumpa ke?” tanya Rokiah dengan lagak tenang. Tidak mahu gadis itu mensyaki sesuatu.
“Oh gambar tu.. belum la ma. Entah la hilang kat mana. Dah puas dah Aika cari kat semua tempat, tapi tak jumpa pun. Emm.. kenapa? Mama ada jumpa ke?” tanya Zulaika kembali. Laga tidak sabar. Bernada berharap pun ada.
“Err.. tak. Saja mama tanya.” geleng Rokiah tersenyum kelat.
“Oh..” Zulaika mengangguk lagak faham. Dia menyambung kembali kerjanya.
Rokiah fikir sendiri. Sangkaannya makin bertambah benar. Dia nekad. Dia perlu segera bertindak. Secepat mungkin!
✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿ ✿

‘TUK! Tuk!’ Pintu bilik Zuhaira diketuk dua kali. Berbunyi sama.
“Eh, mama.. Ingatkan kak long tadi.” kata Zuhaira setelah menarik pintu biliknya dari dalam. Wajah Rokiah yang reaksi lagak tidak manis itu mengisi pandangan matanya.
“Boleh mama masuk?” tanya Rokiah cuba berlagak tenang. Walaupun pada hakikatnya dia sungguh tidak sabar.
“Masuk la ma. Ini kan rumah mama jugak.” balas Zuhaira dengan nada berseloroh. Bibir lagak tersengih. Dia berlalu semula ke atas katilnya dan duduk bersila sambil membuka majalah di atas dada katil. Dibelek sekilas.
Rokiah melabuhkan punggungnya di atas kerusi. Dia memandang sayu ke dalam wajah anak gadis keduanya itu. Zulaika ketika ini sedang asyik di ruang tamu. Sedang asyik menonton rancangan pilihannya. Dia perlu gunakan kesempatan itu sebelum Zulaika bertindak menyinggah ke bilik itu nanti.
“Emm.. Ada apa mama?” tanya Zuhaira setelah sedar Rokiah tidak terus berbicara. Hanya sekadar memerhati dirinya sejak dari tadi. “Ma, kalau mama datang ni sebab nak bincang pasal bakal suami mama yang tercinta tu. Lupakan je la ya.. Adik dah tak kisah dah. Kalau itu yang mama nak kan. Adik tak nak nanti ada orang tu cakap adik ni cuba halang kebahagiaan mama pulak.” kata Zuhaira panjang lebar. Nada sindiran pasti terselit juga di setiap kata-katanya. Masih tidak berubah.
“Mama datang ni bukan nak bincang pasal Uncle Razif kamu.” Rokiah mula bersuara. Bikin suasana kembali gamat seketika.
“Oh ya. Jadi pasal siapa?” tanya Zuhaira sedikit kaget bila tekaannya tidak kena. Dia jadi penasaran sebentar.
“Kak long.”
“Kak long?” ulang tanya Zuhaira dengan panggilan Zulaika itu. Inginkan kepastian.
“Ya.” angguk Rokiah serius.
Zuhaira segera memandang tepat ke arah ibunya itu. Majalah masih kekal di tangan. Tidak lagi dibeleknya. Dia lagak tidak sabar ingin tahu cerita. “Err.. kenapa dengan kak long, ma?”
“Mama nak tahu, sejauh mana hubungan adik dengan Abang Amir?”
“Adik dengan Abang Amir? Err.. apa mama cakap ni? Adik tak faham la.” geleng Zuhaira biasa. Namun hatinya mula rasa gelisah. Tidak senang duduk.
“Semalam mama ada ternampak gambar kak long masa dekat Langkawi dulu tu. Gambar yang kak long kata hilang tu. Macam mana gambar kak long dengan Abang Amir tu boleh ada dengan adik?” soal Rokiah ingin benar-benar tahu. Tanpa berselindung kata lagi.
Zuhaira jadi kaget sebentar. “Emm.. oh gambar tu.. Adik baru je jumpa semalam ma.. dekat ruang tamu. Tapi adik terlupa pulak nak bagi kat kak long tadi. Nasib baik mama ingatkan..Tak apa, nanti adik bagi kat.. ” Zuhaira cuba ingin menjawab. Cuba bermain kata. Segera dicelah Rokiah.
“Adik, jangan cuba nak bohong dengan mama. Mama nak adik berterus terang dengan mama sekarang. Apa sebenarnya niat adik pada kak long?” soal Rokiah lagi sedikit keras. Dia seakan dapat membaca helah yang cuba diguna oleh anak gadisnya itu. Zuhaira jadi ketap bibir. Dia mati kata. “Adik, answer me now!” desak Rokiah tajam memandang ke arahnya.
“Okey. Ya ma. Ya, adik mengaku. Adik memang ada perasaan pada Abang Amir. Adik cintakan Abang Amir.” pantas Zuhaira menjawab. Mengaku benar tentang rahsia hatinya. Kepalanya seakan tertunduk setelah meluah rasa itu. Diri terasa sangat malu.
Rokiah lagak terbeliak biji mata. “Apa? Adik, adik tahukan yang Abang Amir tu sedang berkawan dengan kak long.. Kakak kamu.” balas Rokiah seolah-olah hampir pengsan mendengar pengakuan gadis itu. Sangkaannya ternyata benar.
“Ya. Adik tahu dan adik juga tahu ma.. yang Abang Amir hanya cintakan kak long je.” balas Zuhaira lambat. Dia memang tidak mampu menepis kenyataan perasaan itu setiap kali dia keluar bersama Amir. Pasti nama kakaknya tidak akan terlepas disebut di bibir lelaki itu.
“Asytafirullahalazim.. adik, mama tak sangka yang kamu..” Rokiah jadi terhenti kata tiba-tiba. Lagak sukar menerima pengakuan berani mati anaknya itu. “Okey adik, mulai hari ini mama nak adik lupakan Abang Amir okey. Abang Amir dengan kak long kamu. Kamu tak boleh ada hati dengan dia. Ingat tu.” tegur Rokiah menyebabkan Zuhaira jadi terdiam. Lama. “Dah la. Dah lewat malam ni. Kamu tidur la, esok sekolah kan..” balas Rokiah segera seakan ingin melangkah keluar dari bilik anak perempuannya itu. Tiada kata lagi untuk anaknya itu. Hati jadi sangat sedih.
Zuhaira memandang Rokiah yang mula ingin melangkah ke muka pintu. Dia jadi takut. “Tapi ma.. tolong jangan beritahu kak long pasal hal ni ya.” pinta Zuhaira seakan merayu. Takut ibunya itu beritahu kepada Zulaika tentang rahsia besar hatinya itu. Pasti keadaan akan jadi lebih parah kelak.
Rokiah memberhentikan langkahnya. Dia kalih pandang Zuhaira kembali. “Mama tak akan beritahu kak long pasal hal ni. Ini antara kamu dengan dia. Tapi mama tak jamin kalau satu hari nanti kak long sendiri yang dapat tahu.. walaupun bukan dari mulut mama.” balas Rokiah benar-benar terkilan. Kakinya segera melangkah keluar bilik. Dia lagak kecewa dengan perangai anaknya itu.
Zuhaira memerhatikan langkah Rokiah meninggalkan bilik tidurnya itu dan pintu bilik ditutup rapat. Rasa bersalah mula timbul dalam diri. Lagak menyesali diri tak sudah!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Selamat Datang..!

Kepada anda yang mempunyai komen/cadangan atau pertanyaan boleh tinggalkan komen anda di sini.

(Bagi anda yang tak ada blog, boleh pilih Name/URL (URL ialah laman web, FS, FB mahupun TWITTER anda) untuk beri komen pada blog sis ima ini ok. Terima kasih dan semoga kita berjumpa lagi.

Karya Nukilan ❤

Karya Nukilan ❤